MSN sedia timbang cari jurulatih
Written By b on Monday, 30 December 2013 | 04:45
KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) sedia mempertimbangkan permintaan pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy yang memohon khidmat jurulatih bagi mempersiapkan diri untuk kalendar 2014 walaupun permohonan tersebut sudah dibuat sekian lama sebelum bermulanya Sukan SEA 2013 Myanmar lagi.
Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) secepat mungkin.
"Kita juga akan melihat apa perancangan untuk ketiga-tiga atlet pelayaran, Khairulnizam, Ahmad Syukri Abdul Aziz dan Mohamad Faizal Norizan yang berjaya meraih emas di Sukan SEA 2013 Myanmar baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.
Jelasnya, ketiga-tiga atlet pelayaran tersebut juga akan diberi keutamaan untuk beraksi di Sukan Asia 2014 Incheon dan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 Rio.
Khairulnizam, Khamis lalu membuat kenyataan kepada media berharap MSN dan MYA dapat menunai janji memberikannya khidmat jurulatih selepas berjaya membawa pulang pingat emas untuk negara di temasya dwi tahunan tersebut yang berakhir 22 Disember lalu.
Perkara ini telah disuarakan oleh Khairulnizam kepada Utusan Malaysia sebelum dia berangkat ke Myanmar lagi, apabila dia memerlukan khidmat jurulatih sebelum mengharungi Sukan SEA.
Bagaimanapun, perkara tersebut hanya dipandang sepi dan dia berharap permintaannya dapat ditunaikan selepas dia berjaya membantu kontinjen Malaysia dengan meraih emas dalam acara laser standard.
Dia hanya mendapat sentuhan jurulatih dengan berkelana ke Croatia, Oktober lalu untuk menimba ilmu bersama jurulatih, Aron Lolic yang pernah melatihnya dalam tempoh sementara sebelum beraksi di Sukan Olimpik 2012 London.
Ditanya sama ada Khairulnizam akan diberi peluang untuk berlatih di Croatia bersama Lolic seandainya dia tidak mendapat khidmat jurulatih baharu di Malaysia, Zolkples berkata, mereka akan melihat kembali apa alternatif terbaik buat Khairulnizam.
Khairulnizam juga masih menimbang sama ada akan beraksi di Sukan Asia 2014 Incheon atau Kejohanan Pelayaran Dunia 2014 Santander dan dia lebih cenderung untuk memilih menyertai kejohanan dunia kerana mahu segera melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio.
Bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio, Khairulnizam perlu me nempatkan diri antara 30 atau 40 pe layar terbaik daripada 48 negara yang mengambil bahagian di Kejohanan Pe layaran Dunia 2014 Santander.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau dalam jurusan Diploma Sains Sukan itu juga mengakui bahawa dia juga perlu membahagikan masa antara belajar, berlatih serta menyertai kejohanan, namun semuanya berjalan lancar pada 2013 sehingga dia berjaya menempatkan diri antara 60 pelayar terbaik daripada 130 peserta yang mengambil bahagian di Kejohanan Pelayaran Laser Dunia 2013 Oman.
--utusan
Labels:
Sukan

Post a Comment